Thursday, January 21, 2021

Tajuk Tambahan: Masalah Sahsiah dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Pengenalan

Alam remaja merupakan satu peringkat umur yang mencabar dan paling kritikal. Hal ini kerana remaja mula mencari identiti diri dan suka mencuba perkara baharu. Dalam proses inilah, remaja khususnya pelajar sekolah yang tersilap langkah akan cenderung untuk mempunyai masalah sahsiah. Sahsiah atau personaliti adalah sifat yang unik bagi seseorang individu yang membezakan dirinya dengan individu lain. Antara contoh nilai sahsiah yang semakin hilang ialah menggunakan kata-kata kesat dalam pertuturan harian, memakai pakaian yang kurang sopan, dan tidak menghormati orang yang lebih tua. Selain berpunca dari rumah, sistem pendidikan juga menyumbang kepada masalah sahsiah pelajar. Sistem pendidikan terlalu menekankan peperiksaan tanpa mengambil berat faktor psikologi pelajar yang akhirnya melahirkan insan cemerlang akademik tanpa nilai sahsiah diri yang baik.


Faktor-faktor Masalah Sahsiah

1. Sikap dan Didikan Ibu Bapa yang Salah

Ibu bapa yang sibuk mencari nafkah menyebabkan ibu bapa kurang berkomunikasi bersama anak-anak. Tanpa komunikasi yang baik, ibu bapa tidak dapat menzahirkan kasih sayang terhadap anak-anak. Didikan agama yang membina akhlak anak-anak juga tidak dapat dipupuk dengan sempurna. Kesannya, lebih banyak nilai-nilai negatif daripada nilai-nilai positif yang tumbuh dalam diri anak-anak.

2. Sistem Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan

Membentuk akhlak, sahsiah diri dan akademik adalah elemen paling mustahak yang perlu diberikan perhatian. Namun, pelajar sering dibebankan dengan segala jenis peperiksaan menyebabkan mereka merasa terpaksa untuk menimba ilmu. Pengabaian pendidikan berasaskan hati menjadi antara punca masalah sahsiah pelajar semakin sukar dibendung kerana minat mereka terhadap pelajaran sudah semakin pudar.

3. Pengaruh Rakan Sebaya

Secara umumnya, golongan remaja lebih banyak menghabiskan waktu bersama rakan-rakan berbanding keluarga. Pergaulan remaja bersama rakan-rakan yang salah tanpa kawalan ibu bapa boleh membawa banyak pengaruh negatif. Remaja yang gagal membina jati diri akibat terikut-ikut dengan pengaruh rakan sebaya akan cenderung membuat kesalahan disiplin daripada seringan-ringan memanjat pagar sekolah untuk memonteng, kepada kesalahan yang lebih serius seperti menipu, mencuri dan buli.

4. Pengaruh Media Sosial

Penggunaan media sosial yang salah boleh mempengaruhi sahsiah remaja apabila mereka terlalu taksub dengannya. Demi mengikut trend terkini, remaja menjadi ketagih dengan kandungan media sosial seperti TikTok, Twitter dan Instagram. Keadaan ini membimbangkan apabila remaja memilih untuk menonton content yang tidak bermanfaat. Kesannya, mereka mencuba untuk meniru kelakuan tidak senonoh yang mereka tonton daripada media sosial, sekaligus meruntuhkan nilai sahsiah diri.


Langkah-langkah untuk Mengatasi Masalah Sahsiah Pelajar

1. Pihak Sekolah Perlu Memaklumkan kepada Ibu Bapa Mengenai Kelakuan Anak Mereka di Sekolah

Pihak sekolah perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa pelajar agar ibu bapa dapat mempercayai pihak sekolah dalam memikul tanggungjawab mendidik anak mereka. Kebiasaannya, tingkah laku remaja di sekolah tidak sama dengan tingkah lakunya di rumah. Justeru, pihak sekolah perlu memaklumkan tentang masalah sahsiah yang ditimbulkan oleh remaja kepada ibu bapanya. Hal ini penting bagi mendapatkan kerjasama ibu bapa dalam usaha membentuk semula sahsiah remaja ke arah yang lebih baik.

2. Pelaksanaan Sistem Merit Demerit

Apabila pelajar melanggar peraturan disiplin sekolah, tindakan markah demerit akan dijalankan. Sebaliknya, apabila pelajar berkelakuan positif, markah merit akan ditambah, dan keputusannya akan dicatatkan dalam Sijil Akuan Pelajar. Kebaikan sistem ini ialah dapat digunakan sebagai asas kayu ukur dalam menentukan sama ada pelajar perlu diberi kaunseling, motivasi, pengkayaan dan sebagainya. Pelajar juga akan lebih bersemangat untuk melakukan perkara-perkara yang positif kerana akan diberi ganjaran setimpal.  

3. Memperkasa Program Pembangunan Sahsiah

Pelbagai program pembangunan sahsiah diri pelajar perlu dipergiatkan bagi membantu pelajar mengenali diri, penghargaan diri dan membina matlamat diri. Hal ini kerana pelajar perlu diberi bimbingan yang berterusan untuk melakukan perubahan terhadap tingkahlaku ke arah yang lebih positif. Antara program yang Kementerian Pelajaran Malaysia telah beri panduan dalam Modul Program Pembangunan Sahsiah Diri dan Disiplin Murid ialah Program Kembali ke Sekolah (fokus ponteng sekolah) dan Program Jati Diri (fokus gejala seksual).

 

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, masalah sahsiah dalam kalangan pelajar sekolah boleh ditangani sekiranya semua pihak bersama-sama memikul tanggungjawab mendidik dan memberi kasih sayang yang cukup kepada mereka. Fokus utama adalah pembangunan pelajar secara holistik, pembangunan sahsiah dan jati diri secara kukuh sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Monday, January 18, 2021

Tajuk 11: Pengurusan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa)

Pengenalan

Program PPDa merupakan salah satu program melibatkan pelajar anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang dilaksanakan diperingkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan dalam usaha melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran menolak ancaman dadah dan gejala sosial bagi mengurangkan gejala merokok, ponteng sekolah, melawan guru, mencuri, bergaduh dan merosakkan harta benda sekolah serta risiko gejala sosial diluar sekolah seperti penglibatan dengan kumpulan samseng, pergaulan bebas, melepak dan lari dari rumah.

Statistik berkaitan:


Fungsi Cakna Statistik di atas:

  • Statistik di atas merupakan rangkaian perkaitan gejala dadah yang berlaku sepanjang tahun 2020 dalam tempoh yang tertentu. Fungsi cakna akan statistik tersebut mampu membawa kepada titik kesedaran dalam kalangan belia.
  • Statistik tersebut juga merupakan bukti kepada gejala penglibatan dadah yang sukar dibendung meskipun mempunyai strategi dan kaedah yang menjadi mekanisme tahun demi tahun untuk membantu pengurangan statistik dadah di negara ini.
  • Kerajaan yang prihatin masa kini, terus mendepangi dan berusaha keras membantu mencegah penularan wabak COVID-19 dan memberikan perhatian penuh terhadap isu gejala dadah di negara ini.

 

Objektif Kajian

  1. Mengenalpasti punca berlakunya kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.
  2. Menjelaskan peranan guru dalam menguruskan pengurasan pencengahan dadah (PPDa)
  3. Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pendidikan pencegahan dadah dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru.
  4. Membina ketahanan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar yang merangkumi aspek JERIS.

 

Metodologi Kajian

1. Kaedah Pengumpulan Data

(a) Tinjauan soal-selidik

  • Seramai 9 orang guru yang mengajar di sekolah menengah dijadikan sebagai responden.
  • Tinjauan yang dilakukan adalah untuk mendapat maklumat daripada guru-guru di sekolah menengah mengenai Tinjauan Pengurusan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).

(b) Kajian Perpustakaan

  • Kajian perpustakaan melibatkan pencarian bahan-bahan sekunder seperti laporan, kajian, penulisan dan penerbitan daripada pihak-pihak tertentu.

2. Kepentingan Kaedah Soal Selidik

Dijalankan dalam kalangan guru dan kaunselor yang berdaftar diperingkat sekolah dan daerah tertentu. Kaedah soal selidik memainkan peranan sebagai sumber mendapatkan informasi dan pengetahuan dan pengalaman para guru yang terlibat secara langsung atau tidak. Perkara ini juga turut melibatkan interaksi dua hala diantara belia dan golongan penjawat awam bergelar guru.

3. Kaedah yang Bersesuaian Memberikan Impak:

  • Menyuntik kesedaran tentang mengambil tahu dan mencegah gelaja dadah dalam kalangan guru.
  • Belia akan lebih cakna akan kepentingan masyarakat setempat.
  • Kaedah soal selidik mampu dijalankan dalam tempoh yang berkala.
  • Mewujudkan masyarakat yang prihatin akan satu sama lain.

Dapatan Kajian

1. Punca Penyalahgunaan Dadah

  • Pengaruh keluarga dan ibu bapa
  • Pengaruh rakan sebaya
  • Masalah gejala sosial dikawasan perumahan

2. Meningkatkan Pengetahuan dan Kefahaman

  • Pendedahan Program/Minggu PPDa kepada para pelajar mampu menerapkan kesedaran dan memupuk jati diri yang tinggi untuk menjauhi kancah dadah.
  • Penglibatan ibu bapa amat penting dalam membantu para pelajar mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah dan mengawasi aktiviti terluang para pelajar.
  • Pengawasan yang berpada daripada ibu bapa dan guru terhadap para pelajar mampu membendung penglibatan dalam kancah dadah dalam kalangan pelajar sekaligus membuka mata semua pihak akan implikasi negatif dadah dalam kehidupan.
  • Ibu bapa dan guru perlu memahami tanpa menghukum para pelajar yang telah tersilap langkah serta membantu para pelajar yang terlibat dalam gejala dadah ke jalan yang lebih baik demi masa depan para pelajar.

3. Peranan AADK

  • Mencegah dan membendung seseorang daripada terlibat dengan gejala dadah.
  • Merawat dan memulihkan penagih dadah di pusat rehabilitasi dan pusat pemulihan.
  • Memastikan bekalan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah dibanteras sebaik mungkin.

4. Usaha Guru dalam Membantu Pihak Sekolah agar PPDA dapat Dijalankan dengan Baik

(a) Strategi 1- Pengurusan dan Kepimpinan (Program Gerak Sedar Bersepadu)

  • Satu aktiviti dalam bentuk kempen yang bertujuan menimbulkan kesedaran untuk menjauhi dadah.

(b)Strategi 2- Kurikulum [Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDA) dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)]

  • Program Pendidikan Pencegahan Dadah disepadukan dalam mata pelajaran di sekolah.

(c) Strategi 3- Pembentukan Sahsiah (Program Waja Diri)

  • Satu program perkhemahan yang melibatkan tentang pengetahuan dalam Pendidikan Pencegahan Dadah.

(d) Strategi 4- Kokurikulum [Program Skim Lencana Antidadah (SLAD)]

  • Satu program terancang untuk melibatkan ahli-ahli Persatuan Pakaian Seragam Menengah dalam aktiviti antidadah di sekolah dan akhirnya kepada masyarakat luar.

 




Perbincangan

1. Kekuatan

  • Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah menunjukkan keberkesanan dalam membendung gejala dadah dalam kalangan pelajar.
  • Pihak-pihak yang terlibat di sekolah mempunyai kelebihan dan kuasa sepenuhnya dalam menjalankan aktiviti seperti pemeriksaan pelajar membawa rokok atau bahan terlarang (dadah).
  • Merekod dan mengenal pasti para pelajar yang cenderung dan terdedah dengan gejala dadah dalam usia yang muda yang merujuk kepada faktor keluarga dan persekitaran rumah.
  • Pengkalan data yang komprehensif.
  • Mudah dirujuk oleh pihak yang berkuasa.

2. Kelemahan

Aktiviti Pemantauan dan Penilaian Program

  • Peningkatan bilangan penagih dadah yang dikesan setiap tahun telah memberi gambaran bahawa strategi antidadah yang digunakan sejak penggubalannya pada tahun 1983 mungkin belum dapat memberi impak seperti yang disasarkan.

Ketidaktepatan Pemfokus Kumpulan Sasaran Juga Perlu Diberi Perhatian Oleh Semua Pihak

  • Pelajar lelaki yang bermasalah dalam pembelajaran selalu tidak disertakan dalam mana-mana program PPDa yang dilaksanakan berikutan golongan pelajar ini tidak berminat atau tidak dipilih untuk menyertai pertandingan kerana pencapaian akademik yang tidak memuaskan.

3. Peluang

Perhubungan Antara Agensi Kerajaan Seperti Yang Terdapat Dalam Aspek Pembentukan Sahsiah Dalam Dapatan Kajian Dapat Diperkukuhkan

  • Perhubungan dua hala dan pelbagai hala antara agensi dan pihak sekolah seperti AADK, PDRM, PEMADAM, PIBG, KKM dan lain-lain memberikan impak positif dalam memudahkan sebarang urusan dan proses yang melibatkan agensi-agensi sekaligus memperolehi peruntukan tambahan daripada kerajaan secara mudah dan lancar.

Pihak Sekolah juga perlu Membangunkan Sistem Ict yang Lebih Kompetitif

  • Aspek penting untuk proses penyimpanan data dan maklumat yang banyak serta memudahkan pihak sekolah untuk mengakses maklumat yang diperlukan dengan pantas.

4. Ancaman

Aktiviti yang paling Diminati Oleh Pelajar adalah Berteraskan Seni dan Kreativiti Namun Kurang Dilaksanakan dalam Kalangan Pelajar

  • Perkara ini telah merembeskan kekurangan minat para pelajar untuk menyertai aktiviti atau pertandingan berteraskan akademik sahaja yang kerap berlangsung di peringkat sekolah.

Strategi Pengumpulan Data dan Aktiviti Penilaian seperti Pemantauan Program seperti Dijelaskan Sebelum ini perlu Dijalankan dengan Lebih Kerap

  • Wujud golongan pelajar yang terabai dan mendorong mereka melakukan perkara di luar jangkaan sekaligus memberikan kesukaran untuk di kawal dan dibendung tindakan mereka kelak.

Rumusan

Secara keseluruhannya, penubuhan Program PPDa ini wajar diadakan di setiap sekolah kerana program ini merupakan langkah awal serta pendedahan awal yang efektif dalam memberi pengetahuan, peringatan dan amaran kepada para pelajar mengenai bahaya dan akibat yang bakal diterima sekiranya terlibat dalam kegiatan dadah. Pelajar merupakan golongan terbesar dalam kategori belia yang merupakan golongan yang amat signifikan dalam mencorakkan sesebuah negara dalam membentuk generasi dan kepimpinan pada masa akan datang.

 

Friday, January 15, 2021

Tajuk 10: Pengurusan Keselamatan Sekolah

Pengenalan

Terdapat banyak isu keselamatan yang berlaku di sekolah Malaysia sebagai contoh KUALA LUMPUR: Insiden terbaru membabitkan seorang pelajar tingkatan dua maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput, di Gemas, Negeri Sembilan. Ini menunjukkan aspek keselamatan di sekolah mesti dipertingkatkan.

Kesedaran tentang amalan keselamatan merupakan satu perkara yang penting kepada majikan iaitu guru besar dan juga guru serta pelajar bagi memastikan keselamatan di kawasan sekolah terjamin serta dapat mengurangkan risiko kemalangan.



Objektif Kajian

  1. Mengetahui definisi pengurusan keselamatan sekolah
  2. Menjelaskan kepentingan sistem pengurusan keselamatan di sekolah
  3. Mengenalpasti langkah-langkah yang diambil oleh sekolah dalam meningkatkan keselamatan sekolah
  4. Mengaitkan keberkesanan pengurusan keselamatan sekolah terhadap warga sekolah

Metodologi

1. Kaedah soal selidik

  • Borang soal selidik dihantar melalui aplikasi Whatsapp.
  • Sebanyak 20 orang responden iaitu terdiri daripada guru.

2. Kajian Kepustakaan

  • Mendapatkan maklumat melalui bacaan di dalam internet seperti jurnal, blog, tesis, dan buku atas talian.

Dapatan Kajian

1. Definisi Pengurusan Keselamatan Sekolah

a. Definisi Pengurusan

  • Pengurusan boleh didefinisikan sebagai proses perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi untuk mencapai matlamat organisasi.

b. Definisi Keselamatan Sekolah

  • Suatu keadaan persekitaran di mana seseorang dapat menjalankan aktiviti harian dan lain-lain aktiviti anjuran sekolah dengan selamat, harmonis, risiko rendah, tanpa sebarang halangan dan kemalangan.

2. Menerangkan Kepentingan Sistem Pengurusan Keselamatan di Sekolah

a. Kawalan Keluar Masuk Sekolah

  • Sekolah dapat mengawal pergerakan orang yang tidak dikenali dalam kawasan sekolah dan akan memudahkan pihak pentadbiran sekolah atau polis mengesan pihak yang bertanggungjawab jika sesuatu berlaku.

b. Menyediakan Prasarana dan Kawasan Selamat

  • Segala kemalangan pada warga sekolah dapat dielakkan dan pelajar dapat belajar dapat menuntut ilmu dalam keadaan selamat. Bangunan-bangunan dan padang diselenggara dengan baik dan semak-samun dibersihkan.

c. Pernyataan Misi dan Peraturan Sekolah yang Mengutamakan Keselamatan

  • Pengetua perlulah memastikan semua dokumen mengenai pekeliling berkaitan, undang-undang, akta yang dikeluarkan oleh pihak berwajib didedahkan kepada semua guru dan pelajar serta difahami dengan jelas oleh semua pihak yang terlibat di sekolah.

d. Menyediakan Sistem dan Prosedur Keselamatan Pelajar dan Sekolah

  • Pelaksanaan mengenai peraturan keselamatan di sekolah perlu dijalankan secara tegas dan berterusan. Ini meliputi peraturan keselamatan dalam aktiviti sukan dan kokurikulum, peraturan di bangunan sekolah seperti bilik darjah, bengkel dan makmal, disiplin murid, lawatan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar. Pihak polis juga boleh melakukan rondaan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah.
  • Talian bantuan kecemasan yang menghubungkan sekolah dengan Balai Polis, Jabatan Perkhidmatan Bomba dan hospital berhampiran perlu diwujudkan disekolah.Usaha pencegahan kebakaran juga perlu ditingkatkan seperti pelan kebakaran, pemadam api dan sebagainya. Surat Pekeliling Ikhtisas mengenainya juga perlu dipatuhi.

e. Mewujudkan Sistem Pelaporan dan Aduan

  • Pengetua sekolah juga perlu mewujudkan tatacara yang jelas mengenai cara membuat pelaporan tentang insiden atau orang-orang yang berniat jahat. Ini dapat memberi peluang selain daripada masyarakat luar seperti pelajar, guru, ataupun staf memberi komen atau pendapat mereka secara dalaman. Maklumat-maklumat yang diperolehi boleh dijadikan panduan untuk menambahbaikkan lagi pengurusan aktiviti-aktiviti yang melibatkan sekolah.

f. Mempertingkatkan Mutu Disiplin

  • Pelajar perlu menerima struktur peraturan sekolah sebagai suatu undang-undang dan bukannya mesti dipatuhi kerana dikuatkuasakan pentadbir sekolah. Pelajar perlu mengelakkan diri dari ponteng sekolah ini kerana akan memberi kesan kepada pencapaian pelajar dan self-esteemnya. Bermula dengan kegagalan akademik, rasa rendah diri, kecewa dan hilang minat terhadap belajar akan mendorong pelajar bersikap agresif dan merosakkan harga awam (Glasser, 1969).

g. Membincangkan Isu Keselamatan Secara Terbuka

  • Pengetua boleh menggunakan apa sahaja ruang seperti perhimpunan mingguan, pemakluman oleh guru kelas, dan warden asrama, mesyuarat staf, mesyuarat pengawas dan seumpamanya untuk memberi pesanan bagi memperingatkan semua warga sekolah tentang pentingnya menjaga keselamatan dan kebajikan diri masing-masing.

h. Mewujudkan Hubungan yang Baik dengan Keluarga dan Masyarakat

  • Pihak sekolah boleh mendapatkan kerjasama daripada pihak polis, RELA dan ibu bapa untuk membuat rondaan di kawasan-kawasan yang difikirkan berisiko dari segi keselamatan. Dari semasa ke semasa sekolah perlu memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkembangan persekolahan.

3. Langkah-langkah Pengurusan Keselamatan Sekolah

a. Memanfaatkan Penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

  • Ibu bapa boleh melibatkan diri secara sukarela dalam aktiviti rondaan keselamatan, bantuan dan pemantauan terutama ketika waktu puncak pelajar datang dan pulang dari sekolah.

b. Penglibatan Warga Sekolah dalam Mematuhi Peraturan Sekolah

  • Para pentadbir, staf dan pelajar perlu memahami peraturan sekolah dan akibatnya jika melanggar peraturan sekolah.

c. Menjalinkan Kerjasama dengan Pihak Luar seperti Polis, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) sebagai Kumpulan Sokongan Sekolah

  • Kerjasama rapat antara pihak sekolah dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis menjadi mekanisme terbaik menangani isu disiplin dan pembabitan pelajar dalam kegiatan jenayah.

d. Mewujudkan Pelan Pembangunan Krisis (PPK) yang digunakan dalam Menghadapi Suasana Kecemasan dan Langkah-langkah yang Perlu selepas Insiden

  • Pelan khusus dan komprehensif yang digunakan dalam menghadapi suasana kecemasan dan langkah-langkah perlu selepas insiden. Pelan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah adalah untuk mengenalpasti senarai nombor-nombor telefon agensi-agensi yang boleh dihubungi semasa kecemasan, langkah-langkah pemberitahuan ibu bapa cara memindahkan pelajar, polisi dan prosedur bagi mengendalikan pihak media, tanggungjawab menyimpan rekod kejadian serta pelbagai situasi termasuk yang di luar jangkaan.

4. Mengaitkan Keberkesanan Pengurusan Keselamatan Sekolah terhadap Warga Sekolah

a. Misi, Visi dan Matlamat Sekolah Jelas kepada Seluruh Warga Sekolah

  • Warga sekolah mengetahui bahawa misi, visi dan matlamat sekolah meletakkan kepentingan yang tinggi dalam aspek pengurusan keselamatan sekolah.

b. Hubungan Interpersonal antara Guru, Pelajar, Ibu bapa, Pengetua dan Staf Berjalan Positif dan Saling Mempercayai

  • Apabila keselamatan sekolah terjamin, hubungan baik antara warga sekolah dan ibu bapa dalam keadaan harmoni. Sikap saling mempercayai menjadi kuat antara satu sama lain.

c. Komuniti akan Merasai Kepunyaan dan Selamat terhadap Sekolah

  • Keselamatan sekolah membuat pelajar berasa selamat untuk menuntut ilmu. Ibu bapa juga tidak merasa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana mempunyai pengurusan keselamatan yang baik.

d. Kualiti dan Standard Pelajar Sentiasa pada Tahap yang Tinggi

  • Pelajar akan menjadi fokus dalam menimba ilmu dan seterusnya akan meningkatkan pencapaian akademik mereka. Sekolah yang cakna berkenaan pengurusan keselamatan sekolah dapat meningkatkan kualiti dan standard pelajar pada tahap maksimum.

e. Peraturan dan Interaksi dijadikan Landasan Melaksanakan Tanggungjawab

  • Segala tindakan warga sekolah berlandaskan peraturan yang ditetapkan. Pelajar, staf, guru mahupun pihak pengurusan pentadbir akan melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan berlandaskan peraturan agar dapat mewujudkan persekitaran yang positif dalam sekolah.

f. Kecuaian dapat dielakkan dan Komitmen Bekerja Sentiasa Tinggi

  • Pengurusan keselamatan yang efektif dapat mengelakkan kecuaian berlaku seperti tergelincir akibat paip bocor. Jaminan kselamatan di sekolah dapat menyemai semangat komitmen berkerja yang tinggi dalam kalangan warga sekolah.


Perbincangan

a. Berdasarkan dapatan kajian, kelemahan pengurusan keselamatan sekolah yang tidak terkawal/diabaikan akan menyebabkan:

  • Kawasan sekolah menjadi tempat yang tidak selamat untuk pelajar
  • Kemalangan dan pencerobohan terhadap sekolah akan cenderung berlaku
  • Kecaman terhadap pengurusan sekolah dari pelbagai pihak
  • Sekolah menjadi institusi yang tidak selamat untuk menuntut ilmu
  • Martabat sekolah sebagai pusat menuntut ilmu akan tergugat
  • Ibubapa/ penjaga pelajar kurang berkeyakinan untuk menghantar pelajar ke sekolah

b. Kekuatan

  • Pelajar dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan harmoni
  • Kawasan sekolah yang lengkap dengan sistem keselamatan dapat menjamin keselamatan pelajar
  • Komunikasi berkesan dapat diwujudkan bagi mengelakkan perselisihan faham
  • Masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan

 

Rumusan

Aspek keselamatan adalah amat penting bagi memastikan tiada berlaku kecelakaan dan semua pihak haruslah peka dan mengambil langkah waspada dengan melakukan langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan. Keselamatan ini perlu diberi perhatian tidak kira dimana-mana kawasan sekolah seperti pintu pagar, makmal, bilik darjah, padang dan dewan sekolah supaya keselamatan sekolah dan warga sekolah dalam keadaan terjamin.

Tajuk 9: Sekolah dan Persekitaran

Pengenalan

1. Sekolah

  • Institusi pendidikan formal dari tahap pra sekolah hingga menengah atas
  • Setiap peringkat mempunyai silibus atau kurikulum yang mempunyai matlamat dan objektif masing-masing.
  • Contoh : pra sekolah sekolah (KSPK), sekolah rendah (KSSR), sekolah menengah (KKSM,KBSM)

2. Persekitaran

  • Persekitaran dapat dikaitkan dengan suasana sekolah dari segi fizikal, sosial, perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.
  • Persekitaran yang sihat bermaksud keadaan tempat belajar yang selesa dan aman serta bebas dari segala gangguan yang boleh mendatangkan ancaman kepada murid-murid.
  • Jika persekitaran baik, ia dapat memberi keselesaan kepada murid-murid seterusnya meningkatkan keberkesanan dalam proses PdPc.

 

Metodologi

1. Rujukan internet

Menggunakan kemudahan internet dengan melayari laman web yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang sahih untuk membincangkan dapatan kajian yang kami perolehi.

 

Dapatan Kajian

1. Persekitaran Psikososial

  • Persekitaran psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya
  • Suasana yang merangsang pembelajaran
  • Bebas daripada bahaya dan ancaman fizikal

2. Cabaran yang Dihadapi di Sekolah dan Persekitarannya

  • Kemudahan dan prasarana yang diberi tidak mencukupi
  • Sikap ibu bapa yang menyerahkan tugas mendidik anak – anak sepenuhnya kepada pihak sekolah
  • Yuran dan buku kerja tambahan dianggap beban oleh ibu bapa
  • Sikap ibu bapa yang menuding jari kepada pihak sekolah apabila anak mereka terlibat dalam sebarang permasalahan sosial

3. Hubungan Pihak Sekolah dengan Ibu Bapa

  • Terdapat bentuk-bentuk hubungan ineraksi antara pihak sekolah dengan pihak-pihak di luar sekolah terutamanya ibu bapa, penjaga , komuniti-komuniti dalam masyarakat.
  • Pengetua adalah individu yang ecara idealnya perlu merintis pembinaan hubungan yang baik dengan luar sekolah , dan dibantu oleh guru-guru lain di sekolah.
  • Misalnya , interaksi yang baik dalam PIBG dapat membantu menjayakan program-program sekolah.
  • Pengetua boleh melibatkan komuniti-komuniti sekitar dalam menjayakan aktiviti-aktivitinya.

4. Hubungan Tiga Dimensi

5. Perkongsian Pintar

Hubungan tiga dimensi antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat:

  • Mencapai matlamat atau objektif yang sama.
  • Perlu ada hubungan yang mantap dan akrab.
  • Gabungan strategik yang membawa faedah sinergi kepada semua pihak yang terlibat.
  • Masyarakat juga akan memiliki 'sense of belonging' dalam mencapai sekolah yang mempunyai ciri 'effectiveness' , 'contiunies improvement' dan 'sustainable change'.

6. Matlamat Perkongsian

  • Sekolah sebagai sebuah institusi sosial tidak wujud bersendirian.
  • Sekolah sebagai sebuah institusi sosial yang kompleks, (tidak perlu timbul keraguan dan salah faham.)
  • Memerlukan keprihatinan dan permuafakatan antara pihak sekolah dan masyarakat dalam mengatasinya.

7. Kepentingan Perkongsian

  • Masyarakat dan sekolah : saling memerlukan
  • Sekolah sebagai agen perubahan masyarakat
  • Masalah masyarakat merupakan masalah sekolah juga
  • Budaya adalah hak masyarakat.

 Sekolah yang selamat memerlukan penglibatan masyarakat.

Melalui penubuhan kelab Pencegahan Jenayah pula, hubungan Kerjasama anatara sekolah, PIBG dan pihak polis dapat dijalin untuk membanteras perbuatan jenayah seperti gengsterisme sama ada di dalam atau di luar sekolah ( Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1999).

8. Hubungan Sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

  • Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) adalah sebuah organisasi yang penting terhadap perkembangan sesebuah sekolah.
  • Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa.
  • Tindakan PIBG membela nasib guru: (bersemangat dan selesa ketika bertugas)
  • Pengurusan PIBG harus cekap dan berkesan.
  • Sebarang perbezaan dari segi pandangan dan pendapat dalam kalangan kita bukanlah penghalang.
  • Menambahkan dana persatuan dengan insiatif dan Kerjasama pucuk pimpinan dan semua ahli persatuan.
  • Satu strategi yang boleh dilaksanakan ialah dengan merapatkan hubungan sekolah dengan ibu bapa melalui PIBG.
  • Hubungan dan kerjasama ini akan mewujudkan permuafakatan yang saling memerlukan ibarat aur dengan tebing bagi menjana kecemerlangan sekolah dan melahirkan masyarakat yang kuat perpaduannya.
Rumusan
Sekolah dan persekitarannya sangat berkait rapat dan penting dalam proses PdP. Persekitaran sekolah juga boleh mempengaruhi perkembangan pelajar dari pelbagai aspek seperti akademik, sukan dan kokurikulum, sosial dan lain-lain. Oleh itu, sekolah yang berperanan sebagai tempat untuk para pelajar menimba ilmu perlulah berada dalam keadaan selamat, harmoni dan selesa. Persekitaran yang lengkap dari segi fizikal dan psikososial dapat meningkatkan minat pelajar untuk belajar dalam suasana yang kondusif dan selesa serta dapat mengelakkan sebarang konflik antara ibu bapa dengan pihak sekolah.

Tuesday, January 5, 2021

Tajuk 8: Pengurusan Pelbagai Upaya

 Objetif Kajian

  1. Mengenalpasti kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK)
  2. Memahami Konsep Kecerdasan Pelbagai
  3. Mengetahui program-program yang dilaksanakan untuk murid berkeperluan khas (MBK)
  4. Mengetahui kaedah pengurusan murid berkeperluan khas dari segi pengajaran dan pembelajaran, pengurusan diri dan pengurusan tingkah laku.
  5. Mengenal pasti masalah yang berlaku dalam mengurus murid berkeperluan khas (MBK) dalam kalangan guru.
  6. Membincangkan implikasi terhadap cabaran yang dihadapi yang dihadapi oleh guru.

Metodologi Kajian

1. Kaedah Kepustakaan

Menggunakan bahan-bahan daripada buku, jurnal, artikel, tesis, akhbar dan laman sesawang yang dipercayai yang tersedia yang berkaitan dengan kajian.

2. Kaedah Temubual

Seorang guru

 

Dapatan Kajian

1. Kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK)

Merujuk kepada Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, murid berkeperluan pendidikan khas ertinya kanak-kanak yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal dan masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan dan masalah yang telah dinyatakan.

 

Kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK)



2. Konsep Kecerdasan Pelbagai

Teori Kecerdasan Pelbagai diasaskan oleh Dr Howard Gardner pada tahun 1983. Menurut beliau kecerdasan bukanlah diwarisi melalui keturunan semata-mata tetapi ia juga dipengaruhi oleh faktor pemakanan, budaya, persekitaran, peluang pendidikan dan suasana pembelajaran. Dr Howard Gardner memperkenalkan sembilan jenis kecerdasan untuk mengukur tahap kecerdasan individu. Setiap kecerdasan adalah berasingan dan tidak saling bergantung, kerana seseorang individu mungkin cemerlang dalam satu bidang kemahiran tetapi lemah dalam bidang kecerdasan yang lain.


 3. Program- program yang Dilaksanakan untuk MBK

  1. Program Pendidikan Khas telah berkembang di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia semenjak sistem pendidikan kebangsaan diwujudkan pada tahun 1957.
  2. Satu unit khas yang dikenali sebagai Unit Pelajaran Khas telah ditubuhkan pada tahun 1964, ditempatkan di Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, sehinggalah diganti dengan Jabatan Pendidikan Khas mulai Oktober 1995.
  3. Dengan adanya Jabatan Pendidikan Khas ini, Jabatan Pelajaran Negeri telah mewujudkan Unit Pendidikan Khas di jabatan masing-masing. Dengan penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Khas ini dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Khas.
  4. Peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Seksyen 41 Akta 1996 pula menekankan penubuhan sekolah “sekolah khas” ertinya sekolah yang menyediakan pendidikan khas.
  5. ‘Pendidikan Khas’ ertinya pendidikan bagi murid berkeperluan pendidikan khas di suatu sekolah khas, atau di sekolah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi atau Program Pendidikan Inklusif, pada peringkat prasekolah, rendah, menengah dan lepasan menengah.
  6. Program yang dilaksanakan untuk murid berkeperluan khas:



 


4. Kaedah Pengurusan Murid Berkeperluan Khas dari segi:

i. Pengajaran dan pembelajaran

  • Menggunakan kurikulum yang khusus yang dibina oleh KPM
  • Mengambil kira aspek perancangan masa dan bilangan aktiviti yang dijalankan
  • Menggunakan bahan bantu mengajar (ABM) dan kaedah Multisensori
  • Membentuk kumpulan kecil yang dimana murid dibahagikan kumpulan mengikut tahap kebolehan dan kemahiran.

ii. Tingkah Laku

  • Boleh diuruskan dengan mengaplikasikan beberapa teknik.
  • Teknik pertama alat pengukuran personal dengan menggunakan kaedah pendekatan fizikal.
  • Teknik kedua, ialah pencegahan dengan menggunakan kaedah Visual Strategy
  • Kaedah Modelling, dan Penggunaan Token

iii. Pengurusan Diri

  • Menyediakan subjek pengurusan diri kepada para pelajar atipikal
  • Melatih murid melakukan aktiviti-aktiviti menguruskan diri seperti penjagaan wanita kepada murid perempuan, memakai pakaian, basuh tangan dan lain-lain aktiviti yang dilakukan sepanang hari mereka.

5. Masalah yang Berlaku dalam Mengurus MBK dalam Kalangan Guru

  • Kesukaran dalam memupuk kepercayaan dan perhatian setiap kali ingin memulakan aktiviti PdP.
  • Berhadapan kesukaran untuk menyampaikan maklumat dalam sesuatu pengajaran
  • Pelbagai aksi ataupun sikap yang tidak menyenangkan seperti memberontak yang dapat mengundang kecederaan sama ada kepada diri sendiri, rakan dan guru.
  • Ketidakcekapan guru dalam mengurus tingkah laku murid
  • Ibubapa meletakkan harapan tinggi terhadap guru dalam mendidik anak-anak mereka.

 

Implikasi terhadap Cabaran yang Dihadapi oleh Guru

  • Keperibadian guru akan meningkat ke tahap yang lebih baik
  • Hubungan guru dengan ibu bapa akan terjaga dengan baik
  • Penyampaian pengajaran guru akan menjadi sesuatu yang menarik dan pelbagai
  • Tahap profesionalisme dapat ditingkatkan apabila guru mengutip pengalaman yang berlaku semasa pendidikan MBK
  • Guru berjaya dalam melahirkan anak murid berkeperluan khas sebagai insan yang berpotensi

Rumusan 1

  • Komitmen negara untuk memberi ruang pendidikan kepada golongan berkeperluan khas ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program untuk murid berkeperluan khas. Sehingga kini, Kementerian Pendidikan Malaysia banyak menjalankan dan menyediakan program-program berbentuk pendidikan mahupun sokongan kepada murid berkeperluan khas (MBK).
  • Hasil daripada kurikulum yang dibentuk khusus untuk golongan murid berkeperluan khas yang bertujuan untuk membantu mereka mencapai perkembangan yang menyeluruh yang meliputi aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial agar mereka boleh menjadi masyarakat yang berguna dan berdikari.
  • Dengan terlaksananya transformasi dalam pendidikan khas, murid berkeperluan khas akan berpeluang mendapat pendidikan, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang setanding dengan murid aliran perdana.

Rumusan 2

  • Menjadi harapan kita, suatu masa nanti agar generasi murid berkeperluan khas ini turut menjadi sumber tenaga terhadap perkembangan global dan sama sama menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.
  • Mereka tidak lagi menjadi bebanan kepada masyarakat, keluarga dan negara. Malah mereka berdiri sama gagah dengan individu normal yang lain dengan semangat juang yang tinggi.
  • Setiap murid berkeperluan khas perlu dipastikan menerima pendidikan formal hingga ke tahap yang mampu mereka usahakan.
  • Melalui pendidikan formal, proses pendidikan mereka akan lebih sistematik dan berjaya supaya pendidikan yang diterima membolehkan mereka mampu berdikari dalam menjalani kehidupan seharian.
  • Oleh sebab itu, pengurusan pelbagai upaya memainkan peranan penting dalam memastikan murid berkeperluan khas ini tidak keciciran dalam dunia pendidikan.