Pengenalan
Alam remaja
merupakan satu peringkat umur yang mencabar dan paling kritikal. Hal ini kerana
remaja mula mencari identiti diri dan suka mencuba perkara baharu. Dalam proses
inilah, remaja khususnya pelajar sekolah yang tersilap langkah akan cenderung
untuk mempunyai masalah sahsiah. Sahsiah atau personaliti adalah sifat yang
unik bagi seseorang individu yang membezakan dirinya dengan individu lain. Antara
contoh nilai sahsiah yang semakin hilang ialah menggunakan kata-kata kesat
dalam pertuturan harian, memakai pakaian yang kurang sopan, dan tidak
menghormati orang yang lebih tua. Selain berpunca dari rumah, sistem pendidikan
juga menyumbang kepada masalah sahsiah pelajar. Sistem pendidikan terlalu
menekankan peperiksaan tanpa mengambil berat faktor psikologi pelajar yang
akhirnya melahirkan insan cemerlang akademik tanpa nilai sahsiah diri yang
baik.
Faktor-faktor
Masalah Sahsiah
1. Sikap dan
Didikan Ibu Bapa yang Salah
Ibu bapa yang
sibuk mencari nafkah menyebabkan ibu bapa kurang berkomunikasi bersama
anak-anak. Tanpa komunikasi yang baik, ibu bapa tidak dapat menzahirkan kasih
sayang terhadap anak-anak. Didikan agama yang membina akhlak anak-anak juga
tidak dapat dipupuk dengan sempurna. Kesannya, lebih banyak nilai-nilai negatif
daripada nilai-nilai positif yang tumbuh dalam diri anak-anak.
2. Sistem
Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan
Membentuk akhlak,
sahsiah diri dan akademik adalah elemen paling mustahak yang perlu diberikan
perhatian. Namun, pelajar sering dibebankan dengan segala jenis peperiksaan
menyebabkan mereka merasa terpaksa untuk menimba ilmu. Pengabaian pendidikan
berasaskan hati menjadi antara punca masalah sahsiah pelajar semakin sukar
dibendung kerana minat mereka terhadap pelajaran sudah semakin pudar.
3. Pengaruh Rakan
Sebaya
Secara umumnya,
golongan remaja lebih banyak menghabiskan waktu bersama rakan-rakan berbanding
keluarga. Pergaulan remaja bersama rakan-rakan yang salah tanpa kawalan ibu
bapa boleh membawa banyak pengaruh negatif. Remaja yang gagal membina jati diri
akibat terikut-ikut dengan pengaruh rakan sebaya akan cenderung membuat
kesalahan disiplin daripada seringan-ringan memanjat pagar sekolah untuk
memonteng, kepada kesalahan yang lebih serius seperti menipu, mencuri dan buli.
4. Pengaruh Media
Sosial
Penggunaan
media sosial yang salah boleh mempengaruhi sahsiah remaja apabila mereka terlalu
taksub dengannya. Demi mengikut trend
terkini, remaja menjadi ketagih dengan kandungan media sosial seperti TikTok, Twitter dan Instagram.
Keadaan ini membimbangkan apabila remaja memilih untuk menonton content yang tidak bermanfaat. Kesannya,
mereka mencuba untuk meniru kelakuan tidak senonoh yang mereka tonton daripada
media sosial, sekaligus meruntuhkan nilai sahsiah diri.
Langkah-langkah
untuk Mengatasi Masalah Sahsiah Pelajar
1. Pihak Sekolah
Perlu Memaklumkan kepada Ibu Bapa Mengenai Kelakuan Anak Mereka di Sekolah
Pihak sekolah
perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa pelajar agar ibu bapa
dapat mempercayai pihak sekolah dalam memikul tanggungjawab mendidik anak
mereka. Kebiasaannya, tingkah laku remaja di sekolah tidak sama dengan tingkah
lakunya di rumah. Justeru, pihak sekolah perlu memaklumkan tentang masalah
sahsiah yang ditimbulkan oleh remaja kepada ibu bapanya. Hal ini penting bagi
mendapatkan kerjasama ibu bapa dalam usaha membentuk semula sahsiah remaja ke
arah yang lebih baik.
2. Pelaksanaan
Sistem Merit Demerit
Apabila pelajar
melanggar peraturan disiplin sekolah, tindakan markah demerit akan dijalankan.
Sebaliknya, apabila pelajar berkelakuan positif, markah merit akan ditambah,
dan keputusannya akan dicatatkan dalam Sijil Akuan Pelajar. Kebaikan sistem ini
ialah dapat digunakan sebagai asas kayu ukur dalam menentukan sama ada pelajar
perlu diberi kaunseling, motivasi, pengkayaan dan sebagainya. Pelajar juga akan
lebih bersemangat untuk melakukan perkara-perkara yang positif kerana akan
diberi ganjaran setimpal.
3. Memperkasa
Program Pembangunan Sahsiah
Pelbagai program
pembangunan sahsiah diri pelajar perlu dipergiatkan bagi membantu pelajar
mengenali diri, penghargaan diri dan membina matlamat diri. Hal ini kerana
pelajar perlu diberi bimbingan yang berterusan untuk melakukan perubahan
terhadap tingkahlaku ke arah yang lebih positif. Antara program yang
Kementerian Pelajaran Malaysia telah beri panduan dalam Modul Program Pembangunan
Sahsiah Diri dan Disiplin Murid ialah Program Kembali ke Sekolah (fokus ponteng
sekolah) dan Program Jati Diri (fokus gejala seksual).
Kesimpulan
Secara
keseluruhannya, masalah sahsiah dalam kalangan pelajar sekolah boleh ditangani
sekiranya semua pihak bersama-sama memikul tanggungjawab mendidik dan memberi
kasih sayang yang cukup kepada mereka. Fokus utama adalah pembangunan pelajar
secara holistik, pembangunan sahsiah dan jati diri secara kukuh sejajar dengan
hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
No comments:
Post a Comment