Thursday, January 21, 2021

Tajuk Tambahan: Masalah Sahsiah dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Pengenalan

Alam remaja merupakan satu peringkat umur yang mencabar dan paling kritikal. Hal ini kerana remaja mula mencari identiti diri dan suka mencuba perkara baharu. Dalam proses inilah, remaja khususnya pelajar sekolah yang tersilap langkah akan cenderung untuk mempunyai masalah sahsiah. Sahsiah atau personaliti adalah sifat yang unik bagi seseorang individu yang membezakan dirinya dengan individu lain. Antara contoh nilai sahsiah yang semakin hilang ialah menggunakan kata-kata kesat dalam pertuturan harian, memakai pakaian yang kurang sopan, dan tidak menghormati orang yang lebih tua. Selain berpunca dari rumah, sistem pendidikan juga menyumbang kepada masalah sahsiah pelajar. Sistem pendidikan terlalu menekankan peperiksaan tanpa mengambil berat faktor psikologi pelajar yang akhirnya melahirkan insan cemerlang akademik tanpa nilai sahsiah diri yang baik.


Faktor-faktor Masalah Sahsiah

1. Sikap dan Didikan Ibu Bapa yang Salah

Ibu bapa yang sibuk mencari nafkah menyebabkan ibu bapa kurang berkomunikasi bersama anak-anak. Tanpa komunikasi yang baik, ibu bapa tidak dapat menzahirkan kasih sayang terhadap anak-anak. Didikan agama yang membina akhlak anak-anak juga tidak dapat dipupuk dengan sempurna. Kesannya, lebih banyak nilai-nilai negatif daripada nilai-nilai positif yang tumbuh dalam diri anak-anak.

2. Sistem Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan

Membentuk akhlak, sahsiah diri dan akademik adalah elemen paling mustahak yang perlu diberikan perhatian. Namun, pelajar sering dibebankan dengan segala jenis peperiksaan menyebabkan mereka merasa terpaksa untuk menimba ilmu. Pengabaian pendidikan berasaskan hati menjadi antara punca masalah sahsiah pelajar semakin sukar dibendung kerana minat mereka terhadap pelajaran sudah semakin pudar.

3. Pengaruh Rakan Sebaya

Secara umumnya, golongan remaja lebih banyak menghabiskan waktu bersama rakan-rakan berbanding keluarga. Pergaulan remaja bersama rakan-rakan yang salah tanpa kawalan ibu bapa boleh membawa banyak pengaruh negatif. Remaja yang gagal membina jati diri akibat terikut-ikut dengan pengaruh rakan sebaya akan cenderung membuat kesalahan disiplin daripada seringan-ringan memanjat pagar sekolah untuk memonteng, kepada kesalahan yang lebih serius seperti menipu, mencuri dan buli.

4. Pengaruh Media Sosial

Penggunaan media sosial yang salah boleh mempengaruhi sahsiah remaja apabila mereka terlalu taksub dengannya. Demi mengikut trend terkini, remaja menjadi ketagih dengan kandungan media sosial seperti TikTok, Twitter dan Instagram. Keadaan ini membimbangkan apabila remaja memilih untuk menonton content yang tidak bermanfaat. Kesannya, mereka mencuba untuk meniru kelakuan tidak senonoh yang mereka tonton daripada media sosial, sekaligus meruntuhkan nilai sahsiah diri.


Langkah-langkah untuk Mengatasi Masalah Sahsiah Pelajar

1. Pihak Sekolah Perlu Memaklumkan kepada Ibu Bapa Mengenai Kelakuan Anak Mereka di Sekolah

Pihak sekolah perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa pelajar agar ibu bapa dapat mempercayai pihak sekolah dalam memikul tanggungjawab mendidik anak mereka. Kebiasaannya, tingkah laku remaja di sekolah tidak sama dengan tingkah lakunya di rumah. Justeru, pihak sekolah perlu memaklumkan tentang masalah sahsiah yang ditimbulkan oleh remaja kepada ibu bapanya. Hal ini penting bagi mendapatkan kerjasama ibu bapa dalam usaha membentuk semula sahsiah remaja ke arah yang lebih baik.

2. Pelaksanaan Sistem Merit Demerit

Apabila pelajar melanggar peraturan disiplin sekolah, tindakan markah demerit akan dijalankan. Sebaliknya, apabila pelajar berkelakuan positif, markah merit akan ditambah, dan keputusannya akan dicatatkan dalam Sijil Akuan Pelajar. Kebaikan sistem ini ialah dapat digunakan sebagai asas kayu ukur dalam menentukan sama ada pelajar perlu diberi kaunseling, motivasi, pengkayaan dan sebagainya. Pelajar juga akan lebih bersemangat untuk melakukan perkara-perkara yang positif kerana akan diberi ganjaran setimpal.  

3. Memperkasa Program Pembangunan Sahsiah

Pelbagai program pembangunan sahsiah diri pelajar perlu dipergiatkan bagi membantu pelajar mengenali diri, penghargaan diri dan membina matlamat diri. Hal ini kerana pelajar perlu diberi bimbingan yang berterusan untuk melakukan perubahan terhadap tingkahlaku ke arah yang lebih positif. Antara program yang Kementerian Pelajaran Malaysia telah beri panduan dalam Modul Program Pembangunan Sahsiah Diri dan Disiplin Murid ialah Program Kembali ke Sekolah (fokus ponteng sekolah) dan Program Jati Diri (fokus gejala seksual).

 

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, masalah sahsiah dalam kalangan pelajar sekolah boleh ditangani sekiranya semua pihak bersama-sama memikul tanggungjawab mendidik dan memberi kasih sayang yang cukup kepada mereka. Fokus utama adalah pembangunan pelajar secara holistik, pembangunan sahsiah dan jati diri secara kukuh sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.